ASPEK ANALISIS WACANA
1.0 CIRI-CIRI WACANA
Menurut Beaugrande dan
Dressler (1981:81), terdapat tujuh ciri ketekstualan yang perlu dipenuhi untuk
menghasilkan wacana yang utuh, iaitu tautan, runtutan, tujuan, penerimaan,
maklumat, keadaan dan interteks. Namun menurut Asmah Haji Omar dalam artikel
Jurnal Dewan Bahasa yang bertajuk “ Analisis Wacana “ pula terdapat lapan
unsur-unsur penting dalam wacana iaitu:
a)
satuan
bahasa
b)
terlengkap
c)
mengatasi
ayat atau klausa
d)
teratur
atau tersusun rapi
e)
berkesinambungan
f)
kohesi
g)
lisan
atau tulisan
h)
awal
dan akhir yang nyata
Menurut Nik
Safiah Karim dalam Tatabahasa Dewan edisi Ketiga pula, terdapat dua ciri utama
dalam sebuah wacana yang utuh iaitu, kohesi (atau tautan) dan koheren (atau
runtutan). Menurut beliau lagi, terdapat juga ciri-ciri yang lain termasuklah
tujuan sesuatu wacana, penerimaan oleh pendengar atau pembaca, maklumat yang
terkandung, keadaan yang mewujudkan wacana dan interteks atau peranan
wacana–wacana lain yang membantu pendengar atau pembaca memahaminapa yang
didengar atau dibaca.
1.1 Tautan atau Kohesi
Tautan atau kohesi ialah
keserasian hubungan antara satu unsur linguistik dengan unsur linguistik yang
lain dalam sesebuah wacana untuk menghasilkan wacana yang mantap. Keserasian
hubungan ini lazimnya dilihat melalui hubungan antara sesuatu perkataan, frasa
atau ayat dengan perkataan, frasa atau ayat lain yang terdapat dalam wacana
tersebut. Tautan penting kerana tautan dapat mewujudkan kesinambungan antara
sebahagian teks dengan yang lain sehingga membentuk suatu kesatuan. Kohesi juga
merujuk kepada idea atau esei yang dijalin rapi hingga menjadi bersepadu.
Kohesi juga disebut sebagai
organisasi sintaktik yang mana merupakan wadah ayat-ayat yang disusun secara
padu dan juga padat. Perkara ini bermaksud kohesi adalah hubungan di antara
ayat di dalam sebuah wacana tidak kira sama ada dari segi strata gramatikal
mahupun strata leksikal tertentu. Penguasaan dan pengetahuan kohesi yang begitu
baik akan dapat menghasilkan wacana yang baik.
“Tautan
merupakan satu set kemungkinan yang wujud dalam bahasa untuk menjadikan suatu
teks itu berkesatuan” (Halliday dan Hasan:1976)
Menurut
Halliday dan Hasan lagi, "Cohesion is expressed through the strata
organization of language. Language can be explained as a multiple coding system
comprising three levels of coding or 'strata'. The semantic (meaning), the
lexicogrammatical (forms) and the phonological and orthographic (expression).
Meanings are realized (coded) as forms, and the forms are realized in turn
(recoded) as expressions. To put this in everyday terminology, meaning is put
into wording and wording into sound or writing."
Halliday dan
Hasan telah cuba melihat tautan makna itu dari dua sudut iaitu tautan nahuan
dan tautan leksikal. Kedua-dua nahuan ini wujud dalam sesuatu kesatuan teks.
Selain itu, kohesi juga memperlihatkan jalinan ujaran dalam bentuk ayat bagi
membentuk suatu teks atau konteks dengan menghubungkan makna yang terkandung di
dalam unsur. Kohesi juga dikenali sebagai tetenunan, tautan, kepaduan dan
sebagainya.
Contohnya:
i.
Syazwani,
Siti dan Faiznur ke perpustakaan.
ii.
Mereka
ke sana untuk meminjam buku.
Dalam contoh di
atas, terdapat tautan antara kedua-dua ayat tersebut. Perkataan mereka dalam
ayat kedua merujuk kepada Syazwani, Siti dan Faiznur, sementara sana merujuk
kepada perpustakaan. Oleh itu, kedua-dua ayat yang mempunyai tautan ini
dianggap sebagai wacana. Tambahan pula, kedua-dua ayat ini bermakna dan
difahami.
1.2 Runtutan atau koheren
Runtutan atau koheren
merupakan kesinambungan idea yang terdapat dalam sesbuah wacana sehingga
menjadikan sesebuah teks itu bermakna. Oleh itu, runtutan merupakan asas dalam
pembinaan wacana kerana sesuatu teks itu dianggap sebagai wacana jika teks
tersebut mempunyai makna.
Contohnya:
Penyakit sindrom kurang daya tahan atau Aids bukanlah gejala yang baharu.
Penyakit ini telah lama dikesan di beberapa buah Negara di Eropah. Walaupun
bidang sains dan teknologi berkembang maju, tetapi masalah ini masih tidak dapat
diatasi.
Contoh di atas
jelas menunjukkan kesinambungan idea melalui perkataan Aids, gejala, penyakit
dan masalah ini. Kesinambungan idea ini telah menjadikan ayat-ayat tersebut
bertaut di antara satu sama lain untuk membentuk wacana yang bermakna. Kebanyakan
wacana mempunyai tautan untuk menjadikannya runtut. Walau bagaimanapun, teks
yang bertaut tidak semestinya runtut.
Contohnya:
Wanita itu membeli baju baharu bewarna biru. Warna biru ialah warna kegemaran
muda-mudi kini. Muda-mudi kini ramai yang menghadapi masalah sosial.
Berdasarkan
teks di atas, setiap ayat mempunyai tautan. Tetapi teks tersebut tidak
merupakan wacana kerana teks tersebut tidak bermakna dan tidak difahami.
Malahan, teks tersebut tidak mempunyai kesinambungan idea atau tidak koheren.
Oleh itu, untuk menghasilkan wacana, sesuatu teks itu perlulah koheren atau
runtutan.
1.3 Tujuan
Setiap wacana yang
diujarkan sama ada dalam bentuk tulisan atau lisan perlu mempunyai tujuan.
Tujuan sesuatu wacana ini ditentukan oleh penghasil wacana tersebut sama ada
penulis atau pembicaranya. Sesuatu wacana perlu mempunyai tujuan untuk
menimbulkan interaksi yang komunikatif. Tujuan ini akan menentukan jenis wacana
yang digunakan. Jika tujuan seseorang adalah untuk mendapatkan maklumat, ayat
yang sering digunakan ialah ayat Tanya, tetapi jika seseorang itu ingin
menyatakan atau menerangkan sesuatu, ayat yang digunakan ialah ayat penyata.
1.4 Penerimaan
Sesuatau wacana sama ada
lisan atau tulisan, perlu mempunyai pendengar atau pembaca. Pendengar dan
pembaca merupakan penerima sesuatu wacana. Tahap penerimaan seseorang itu
tinggi jika pendengar atau pembaca memahami sepenuhnya wacana yang diujarkan
sama ada dalam bentuk tulisan atau lisan. Oleh itu, tahap penerimaan adalah
tinggi apabila tahap tujuan sama dengan tahap penerimaan.
1.5 Maklumat
Setiap wacana mempunyai
maklumat. Maklumat terdiri daripada dua jenis, iaitu maklumat lama dan maklumat
baharu. Maklumat lama ialah maklumat yang telah dinyatakan terdahulu. Maklumat
baharu pula ialah maklumat yang baru sahaja dinyatakan dengan andaian pendengar
atau pembaca tidak mengetahui maklumat itu sebelum ini.
Contohnya:
i.
Puan
Rita mengajar di sekolah menengah.
ii.
Sekolah
itu sekolah berasrama penuh.
Sekolah itu dalam ayat (2)
merupakan maklumat lama kerana telah dinyatakan dalam ayat sebelumnya. Sekolah
berasrama penuh ialah maklumat baharu kerana baru disebutkan dalam ayat itu.
1.6 Keadaan
Keadaan ialah latar sewaktu
bahasa itu digunakan, dan membantu pendengar atau pembaca memahami sesuatu
wacana. Ungkapan “Sila masuk”, misalnya, difahami kerana digunakan dalam
keadaan latar seseorang mempelawa seorang lain masuk ke dalam bilik atau
rumahnya. Dalam kehidupan sehari-hari terdapat pelbagai jenis latar, misalnya
latar rumah tangga, latar tempat kerja, latar tempat membeli-belah, latar
berekreasi, latar beribadat, dan bermacam-macam lagi. Setiap latar menghasilkan
wacana tersendiri.
Setiap wacana
perlu dikaji kaitan dan kedudukan penutur dalam masyarakat secara amnya yang
akan menentukan gaya wacana sama ada gaya formal atau tidak formal. Gaya
formal, contohnya, wujud apabila seseorang guru pelatih berkomunikasi dengan
pensyarah, murid atau pelajar berhubung dengan guru. Gaya tidak formal adalah
gaya yang wujud dalam hubungan biasa antara rakan. Hubungan ini menghasilkan
kesan dialek sosial dalam pertuturan.
Wacana harus
ada tujuan yang menentukan sesuatu jenis ayat. Contohnya, jika tujuan penutur
adalah untuk melaksanakan sesuatu perbuatan , jenis ayat yang terbentuk ialah
ayat perintah. Begitu juga jika tujuan penutur adalah untuk mendapatkan
maklumat, jadi ayat yang terbentuk ialah ayat Tanya. Sesuatu wacana mesti
berdasarkan kaitan antara penutur dengan pendengar dalam bahasa lisan dan
penulis dengan pembaca dalam bahasa tulisan. Tiap-tiap wacana tidak boleh
dimansuhkan maklumat yang bertentangan dengan maklumat yang terdapat dalam ayat
sebelumnya. Contohnya:
“Kelmarin dia tidur sehari suntuk.”
“Kelmarin dia tidur sehingga jam 9.00 pagi.”
Dalam wacana perlu
ada unsur-unsur susun atur menurut sebab, akibat, tempat, waktu, keutamaan dan
sebagainya. Tegasnya, ayat-ayat itu harus mempunyai urutan yang berkait
rapat.Misalnya:
“Cikgu
Shafie mengajar dengan penuh dedikasi.” “ia mendapat pujian daripada guru besar.”
Setiap wacana harus
mempunyai andaian dan inferensi. Maklumat pertama dalam wacana digelar andaian
manakala maklumat berikutnya disebut inferensi.
1.7 Interteks
Interteks bermaksud sesuatu
wacana itu bergantung kepada wacana yang lain. Hal ini beerti wacana-wacana
lain juga memainkan peranan penting untuk membantu seseorang memahami sesuatu
wacana yang sedang dibaca atau didengarinya dengan mudah. Dengan kata lain,
kefahaman seseorang terhadap sesebuah wacana bergantung kepada pengetahuannya
terhadap perkara yang dibaca atau didengarnya itu.
0 comments: