[A.T.W] PENGENALAN


Komunikasi sangat penting dalam kehidupan kita. Oleh itu, bahasa sebagai alat komunikasi sangat penting untuk menjayakan komunikasi ini tanpa adanya bahasa maka komunikasi tidak berlaku dan kehidupan kita tidak ada interaksi antara sama lain. Walau bagaimanapun berdasarkan hierarki tatabahasa kita mendapati ayat berada di tingkat teratas dalam bahasa. Pada peringkat yang melebihi ayat dikenali sebagai wacana. Semua perkara yang melibatkan bahasa ialah wacana. Perkara yang penting dalam wacana ialah retorik. Konsep yang diketengahkan dalam wacana ialah meliputi komunikasi bertulis, iaitu melibatkan pembaca dan penulis dan komunikasi lisan pula melibatkan penutur dan pendengar. Hal ini membuktikan bahawa wacana ialah kesatuan bahasa lengkap dan paling tinggi dalam bentuk pertuturan dan penulisan yang memperlihatkan kesinambungan fikiran, termasuk rujukan kepada komunikasi dalam konteks.

Penelitian yang dibuat dalam penulisan ini adalah bertujuan untuk memaparkan konsep wacana. Selain daripada itu, sejarah kemunculan bidang wacana di dunia ini turut diteliti. Malahan, kajian sejarah kemunculan bidang tatabahasa wacana dikaji dari zaman abad keagamaan dahulu kala sehingga kemunculan bidang ini di Eropah dan di Malaysia. Selain itu, perkara yang turut dikaji ialah kemunculan tatabahasa wacana di Malaysia serta perkembangan bidang ini di institusi pendidikan tinggi di negara kita. Hal ini bertujuan untuk membolehkan kita mengetahui orang yang menjadi pelopor-pelopor kepada bidang ini di Barat dan di tanah air kita sendiri.

Sebelum kita meneliti perkembangan bidang wacana di dunia ini, lebih baik terlebih dahulu kita mengkaji makna wacana itu sendiri . Seperti pepatah mengatakan “tak kenal maka tak cinta”. Oleh sebab itu, kita perlu mengenali dan memahami dahulu makna wacana supaya memudahkan kita mencari perkara yang lebih mendalam lagi dalam wacana. Dalam perbincangan ini, konsep wacana itu akan dihuraikan secara terperinci. Wacana dianalisis oleh pengkaji-pengkaji bahasa kerana penggunaan wacana itu sendiri sangat penting dalam kehidupan manusia. Semua perkara yang dilakukan oleh manusia yang melibatkan bahasa ialah wacana.

Wacana sebuah konsep yang meliputi semua aspek komunikasi manusia. Hal ini membuktikan bahawa, wacana bukan sahaja merupakan sebuah komunikasi bertulis yang melibatkan antara penulis dan pembaca, malah ia juga melibatkan komunikasi lisan antara penutur dan pendengar. Seperti yang telah disebut di atas, wacana dalam pertuturan dan penulisan memperlihatkan kesinambungan fikiran, baik dari aspek komunikasi dan juga konteks. Wacana juga ialah satuan bahasa yang terlengkap dan paling tinggi dalam bentuk pertuturan dan penulisan yang dapat memperlihatkan kesinambungan fikiran dalam kehidupan kita yang memerlukan komunikasi dalam hidup.

Analisis wacana adalah padanan frasa bahasa Inggeris discourse analysis. Istilah ini mula digunakan oleh Zellig Harris di Amerika Syarikat apabila beliau menerbitkan makalah dengan judul tersebut pada tahun 1952. Harris memanfaatkan teks bagi menghuraikan unsur morfen, kata, frasa, pola ayat, dan taburannya dalam teks serta bagaimana teks dibina dalam pelbagai genre seperti perbualan, lawak, jenaka, bahasa dalam program televisyen, bahasa dalam cerpen, iklan, papan tanda dan sebagainya. Menurut Beaugrande dan Dressler sesebuah teks yang komunikatif dikatakan perlu memiliki tujuh tahap ketekstualan, iaitu melibatkan aspek tautan, aspek runtutan, tahap tujuan, tahap penerimaan, tahap maklumat, tahap keadaan dan tahap interteks.


Sumber:

Mohd Rashid Md Idris, Norliza Jamaluddin, Abu Hassan Abdul & Adenan Ayob. (2012). Tatabahasa wacana. Tanjong Malim: Emeritus Publications.

0 comments: