[A.T.W] LATAR BELAKANG
[A.T.W] LATAR BELAKANG WACANA BAHASA MELAYU
Menurut Sanat Md. Nasir (2002: 9-12), kajian wacana bahasa Melayu masih baru. Ada pendapat yang mengatakan Muhammad Yunus Maris (1966) merupakan perintis analisis wacana dalam bahasa Melayu dengan menggunakan teknik keperihalan keadaan untuk menerangkan penggunaan ganti nama.
Menurut Sanat Md. Nasir (2002: 9-12), kajian wacana bahasa Melayu masih baru. Ada pendapat yang mengatakan Muhammad Yunus Maris (1966) merupakan perintis analisis wacana dalam bahasa Melayu dengan menggunakan teknik keperihalan keadaan untuk menerangkan penggunaan ganti nama.
Setakat
yang terkumpul, Harimurti Kridalaksana (1970: 1), menulis makalah beliau “NYA
sebagai penanda anafora”. Pada tahun 1978, beliau telah menulis kertas kerja
yang bertajuk “Keutuhan Wacana” dan diterbitkan sebagai artikel dalam Jurnal
Dewan Bahasa. Artikel itu membahaskan keutuhan wacana sebagai salah satu aspek
analisis wacana. Penelitian beliau kelihatan terpengaruh dengan aliran tagmemik
dan linguistik teks. Demikianlah juga aliran tagmemik digunakan dalam Ph.D.
Ajamiseba (1978).
Kerancakan
penyelidikan tentang wacana bahasa Melayu berlaku dalam tahun 1980-an, iaitu
sepuluh tahun selepas wacana sebagai satu disiplin rancak di Eropah dan di
Amerika Syarikat. Pemaparan penyelidikan itu berupa artikel, disertasi dan
buku. Asmah (1980a dan 1980b) telah menulis dua buah artikel dalam Jurnal Dewan
Bahasa, yang masing-masing bertajuk “Analisis Wacana” dan “Pengajaran Bahasa
untuk Kemahiran Berkomunikasi: Pendekatan Wacana”. Dalam artikel yang pertama
itu, beliau telah menunjukkan penggunaan tiga jenis analisis wacana, iaitu
kaedah Harris, kaedah Becker, dan kaedah Sinclair dan Coulthard. Artikel lain
seperti Lufti Abas (1982) dan Soenjono Dardjowidjojo (1985).
Selain
yang berbentuk artikel, penyelidikan wacana juga telah dilakukan secara serius
di peringkat latihan ilmiah, sarjana dan kedoktoran. Daripada bibliografi
latihan ilmiah yang diusahakan oleh Ismail (1994) dari tempoh 1977 hingga 1994,
didapati latihan ilmiah yang berkaitan dengan wacana hanya muncul mulai tahun
1984. Terdapat 14 buah latihan ilmiah tentang kajian wacana sejak tahun
tersebut hinggalah tahun 1989.
Penelitian
di peringkat sarjana sepanjang tempoh tahun 1980-an setakat yang terkumpul
ialah Sucipto (1987) dan Wong (1988). Sucipto melihat unsur tautan manakala
Wong, kesinambungan topik. Di
peringkat disertasi kedoktoran pula, termasuklah Abdul Aziz Idris (1982),
Farrerty (1982), Azhar M. Simin (1983), dan Tallei (1988). Abdul Aziz berfokus
pada aspek struktur tema dan sistem hubungan logikal dalam teks pendedahan
bahasa Melayu dan Inggeris. Rafferty pula melihat struktur wacana bahasa
Indonesia yang dituturkan oleh orang Cina di Malang, Indonesia. Azhar pula
meneliti sintaksis wacana yang dalam bahasa Malaysia sedangkan Tallie, dengan
menggunakan pendekatan analisis wacana, cuba mengkaji keterpaduan, keruntutan,
dan keterbacaan wacana buku pelajaran bahasa Indonesia di peringkat sekolah
dasar.
Penelitian
wacana sepanjang tahun 1980-an dalam bentuk buku dan sebahagian daripada buku
dapat dilihat seperti dalam Asmah (1987: 108-127) tentang teks saintifik,
Tarigan (1987) Pengajaran Wacana dan Tata Bahasa Baku Bahasa Indonesia (1988:
334-360). Dekad
awal 1990-an diperteguh dengan kerancakan penelitian tentang wacana bahasa
Melayu seperti yang ditunjukkan oleh peneliti berikut. Sato (1991) menghasilkan
tesis Ph.D. dengan tajuk “Analisis Nahu Wacana Bahasa Melayu Klasik Berdasarkan
Teks Hikayat Hang Tuah”. Tumpuan beliau pada hubungan antara susunan ayat yang
logikal dengan susunan maklumat. Perhatian juga diberikan terhadap analisis
tetenunan dalam ayat yang berkaitan dengan hubungan tersebut.
Soeseno
(1992) dalam syarahan perdana sempena pengukuhan beliau sebagai profesor telah
memilih tajuk “Analisis Wacana dan Penerapannya”. Dalam syarahan itu, beliau
secara meluas menyentuh topik-topik seperti analisis wacana sebagai cabang ilmu
bahasa, perbezaan antara wacana lisan dengan tulisan, konteks situasional,
prinsip interpretasi lokal dan analogi, implikatur, presuposisi, inferensi,
referensi, pronominal, kohesi, koherensi dan pengetahuan tentang dunia. Di
hujung syarahan beliau itu, ada dimuatkan contoh-contoh analisis wacana.
Manakala
peneliti lain yang menghasilkan artikel atau kertas kerja, seperti Samsuri
(1992), Ramlan (1992), Ebah (1992), Wong (1992;1993), Sanat (1992;1994;1995a
dan 1995b;1996a dan 1996b), Dede Oetomo (1993), Ismail (1993;1994) dan Zahrah
(1995).
Jika
ditinjau dari segi penghasilan latihan ilmiah dalam bidang ini bagi tempoh 1990
hingga 1994 di Malaysia, terdapat 17 buah, iaitu 15 buah dari Jabatan
Linguistik, Universiti Kebangsaan Malaysia, dan dua buah dari Rancangan Bahasa
Melayu, Universiti Malaya. Dua buah latihan ilmiah itu terdiri daripada Hasnah
(1994), “Analisis Tautan dalam Wacana Bahasa Melayu” dan Tan (1994), “Tautan
dalam Bahasa Melayu”. Kedua-dua latihan ilmiah tersebut menggunakan kerangka
Halliday dan Ruqaiya Hasan (1976).
Seperti
yang telah dinyatakan di atas, wacana sebagai bidang kajian dalam penelitian
bahasa Melayu masih baru. Hal ini berlaku kerana beberapa sebab. Antaranya,
wacana sebagai satu disiplin hanya berlaku pada tahun 1970-an di Eropah dan di
Amerika Syarikat. Biasanya, kesannya akan memakan waktu antara 5 hingga 10
tahun untuk sampai ke sini. Pada waktu yang sama, aliran transformasi generatif
yang dipelopori Chomsky masih kuat bertapak sehingga kebanyakan ahli bahasa
kita yang belajar di peringkat kedoktoran dalam tempoh itu telah terpengaruh
dengan aliran tersebut. Selain itu, kajian wacana sebagai mata kursus peringkat
sarjana muda di universiti tempatan masih belum menyeluruh. Lufti, Sanat dan Nuwairi
(1985) telah membuat tinjauan tentang pengajaran linguistik di Malaysia dari
segi konsep dan aliran, dan didapati hanya Jabatan Linguistik, Universiti
Kebangsaan Malaysia yang ada menawarkan kursus tersebut. Bahkan, kursus itu pun
dianggap umum sebab sekadar menyatakan topik tentang teori sintaksis yang boleh
dilihat daripada aliran lain yang bukan wacana, seperti tranformasi generatif.
Pada awal tahun
1990 diberitahu bahawa di IKIP Malang, Unika Atma Jaya dan di Universitas
Indonesia di Indonesia masih belum ada kursus seumpama itu di peringkat ijazah
pertama. Demikian juga di Jabatan Pengajian Melayu, National University of
Singapore. Sebaliknya, Pengajian Bahasa Malaysia, Pusat Pengajian Ilmu
Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia sudah menawarkan kursus “Analisis
Wacana” di peringkat ijazah dasar bagi sesi 1989/90. Di Rancangan Bahasa
Melayu, Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya kursus tersebut hanya dapat
dimulakan pada sesi 1993/94 dengan tajuk “Tatabahasa Wacana Bahasa Melayu”.
Jabatan Pengajian Melayu, Fakulti Bahasa Moden, Universiti Pertanian Malaysia
belum lagi menawarkan kursus yang seumpama itu pada sesi 1995/96.
Sumber:
http://mlc.alc.nie.edu.sg/docs/sanat_mdnasir.pdf
0 comments: