[A.A.W] RUNTUTAN ATAU KOHEREN


Runtutan atau koheren merupakan kesinambungan idea yang terdapat dalam sesbuah wacana sehingga menjadikan sesebuah teks itu bermakna. Oleh itu, runtutan merupakan asas dalam pembinaan wacana kerana sesuatu teks itu dianggap sebagai wacana jika teks tersebut mempunyai makna.

    Contohnya: Penyakit sindrom kurang daya tahan atau Aids bukanlah gejala yang baharu. Penyakit ini telah lama dikesan di beberapa buah Negara di Eropah. Walaupun bidang sains dan teknologi berkembang maju, tetapi masalah ini masih tidak dapat diatasi.

   Contoh di atas jelas menunjukkan kesinambungan idea melalui perkataan Aids, gejala, penyakit dan masalah ini. Kesinambungan idea ini telah menjadikan ayat-ayat tersebut bertaut di antara satu sama lain untuk membentuk wacana yang bermakna. Kebanyakan wacana mempunyai tautan untuk menjadikannya runtut. Walau bagaimanapun, teks yang bertaut tidak semestinya runtut.

    Contohnya: Wanita itu membeli baju baharu bewarna biru. Warna biru ialah warna kegemaran muda-mudi kini. Muda-mudi kini ramai yang menghadapi masalah sosial.

   Berdasarkan teks di atas, setiap ayat mempunyai tautan. Tetapi teks tersebut tidak merupakan wacana kerana teks tersebut tidak bermakna dan tidak difahami. Malahan, teks tersebut tidak mempunyai kesinambungan idea atau tidak koheren. Oleh itu, untuk menghasilkan wacana, sesuatu teks itu perlulah koheren atau runtutan.



1 comment: